SEPANG: Seramai 1,200 golongan kurang bernasib baik yang tidak mempunyai tempat tinggal berjaya dibantu Kechara Soup Kitchen (KSK) sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, pihaknya mengagihkan kira-kira 850 pek makanan berisi nasi, roti, buah-buahan, air mineral serta biskut. Bagaimanapun, katanya bantuan itu hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar kerana tidak mahu ada pihak menyalahgunakan bantuan itu.
“Mereka yang memperoleh bantuan ini termasuk warga emas malah ada yang berusia kurang 30 tahun dan sehingga kini ada kira-kira 1,200 penerima.
“Setiap individu mempunyai cerita tersendiri sehingga mereka terpaksa tinggal di jalanan. Ada yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan namun ditipu rakan sehingga tinggal sehelai sepinggang menyebabkan mereka tidak ada pilihan dan meneruskan hidup di jalanan,” katanya selepas sesi penyerahan sumbangan Hotel Pan Pacific Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Julia berkata, menyedari ada antara mereka yang mahu bekerja, pihaknya cuba membantu mereka mencari pekerjaan bersesuaian.
Buat masa ini, katanya, kira-kira 40 penerima sudah memulakan hidup baru dengan bekerja di sektor industri dan perhotelan dan jumlah berkenaan dijangka bertambah bergantung kepada kesediaan mereka untuk bekerja.
Julia berkata, bagaimanapun mereka masih perlu menjalani sesi temu duga dan pemeriksaan kesihatan sebelum diterima bekerja.
“Kebiasaannya kami akan mendapatkan pandangan mereka terlebih dulu jika ada antara mereka yang berminat untuk bekerja dan jika ada yang tampil kami akan melakukan sesi penilaian sendiri untuk mengetahui kecenderungan mereka.
“Agak mengejutkan kerana ada antara mereka yang memiliki kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta fasih berbahasa Inggeris namun kerana nasib tidak menyebelahi, mereka tidak mendapat pekerjaan sehingga terpaksa hidup di jalanan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jualan, Pan Pacific KLIA, Darus Ismail, berkata sumbangan yang diberikan kepada KSK adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka dalam membantu golongan kurang bernasib baik.
“Kami memberikan bantuan tuala dan selimut bersih kepada KSK kerana kami dimaklumkan ada antara golongan ini yang hanya menggunakan kotak atau surat khabar sebagai alas tempat tidur mereka.
“Melalui sumbangan ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan kesusahan mereka dan memberi sedikit keselesaan dalam meneruskan hidup,” katanya. Beliau berkata, sehingga kini, ada tiga individu yang pernah hidup di jalanan diambil bekerja di Pan Pacific KLIA kerana mereka menunjukkan minat untuk bekerja.
No comments:
Post a Comment