Friday, May 14, 2010

Sime Darby issues

Zubir diminta bercuti

KUALA LUMPUR 13 Mei 2010 – Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd., Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid diminta bercuti apabila syarikat konglomerat itu rugi lebih RM1.63 bilion akibat lebihan kos dalam projek kendaliannya.

Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata, jawatan Ahmad Zubir yang kontraknya bakal berakhir pada 26 November ini, akan dipangku oleh Naib Presiden Eksekutif (Perladangan), Datuk Azhar Abdul Hamid.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau menjelaskan pihak lembaga pengarah meminta Ahmad Zubir bercuti sebagai memenuhi dasar amalan urus tadbir korporat.

Kerugian yang ditanggung oleh Bahagian Tenaga dan Utiliti, syarikat korporat itu dikenal pasti selepas Jawatankuasa Petugas Khas diwujudkan pada Oktober 2009.

Ditanya sama ada tindakan yang diambil itu sebagai hukuman, Musa berkata, terpulang kepada orang ramai membuat penilaian.

Ahmad Zubir, 53, yang menyertai Sime Darby sejak 1981 pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Pengarah Urusan Continental Sime Tyre PJ Sdn. Bhd. dan Pengarah Bahagian Kelengkapan Berat/Kuasa Sime Darby dan Kumpulan Allied Products.


Utusan malaysia


BERITA UTAMA

Sime Darby rugi lebih RM1.63b

KUALA LUMPUR 13 Mei - Syarikat konglomerat, Sime Darby Bhd. (Sime Darby) hari ini mengumumkan kerugian lebih RM1.63 bilion berikutan berlakunya lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya.

Berikutan itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid yang kontraknya bakal berakhir pada 26 November ini, diminta bercuti.

Tempat beliau sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan akan dipangku oleh Datuk Azhar Abdul Hamid selepas mendapat persetujuan mesyuarat Lembaga Pengarah Sime Darby yang bermesyuarat selama 12 jam semalam.

Ketika ditanya secara bertubi-tubi sama ada Ahmad Zubir sebenarnya dipecat atau diminta letak jawatan, Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata, pihak Lembaga Pengarah meminta orang kuat Sime Darby itu bercuti sebagai memenuhi dasar amalan urus tadbir korporat.

Katanya, pihak pengurusan perlu bertanggungjawab terhadap projek- projek yang dilaksanakan.

''Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia adalah keputusan Lembaga Pengarah dan setakat ini kita masih berpegang kepada keputusan tersebut,'' katanya pada sidang akhbar tergempar di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Ditanya sama ada tindakan yang diambil itu sebagai satu hukuman kepada Ahmad Zubir, Musa berkata, terpulanglah kepada orang ramai untuk membuat penilaian.

Ketika ditanya adakah pengganti pemimpin Sime Darby akan dipilih di kalangan syarikat-syarikat milik kerajaan atau 'orang dalam', secara berseloroh beliau berkata: ''Kita akan mencarinya di bulan''.

Musa berkata, syarikat itu bakal menamakan pengganti Ahmad Zubir dalam satu jawatankuasa dan personaliti terbaik akan dipilih.

Katanya, berikutan lebihan kos itu, Sime Darby bakal kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (MOQ) (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).

Kerugian itu telah dikenalpasti selepas Sime Darby mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas pada Oktober 2009 untuk mengkaji operasi Bahagian Tenaga dan Utilitinya. Jawatankuasa itu dianggotai oleh Datuk Seri Panglima Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Wan Mohd Zaid Mohd Noordin dan Datin Paduka Zaitoon Othman.

Mengulas lanjut Musa berkata, jawatankuasa itu mendapati kerugian membabitkan projek Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum (QP), Projek MOQ, pembinaan kapal bagi kegunaan projek MOQ dan projek empangan hidroelektrik di Bakun.

Projek QP yang dianugerahkan pada April 2006 yang sepatutnya siap pada Ogos 2008 telah tertangguh dan lebihan kos sehingga mengakibatkan kerugian RM500 juta yang telah diambil kira dalam akaun.

Katanya, bagi projek MOQ yang diterima pada Januari 2007 dan sepatutnya siap pada Oktober lalu, ia juga mengalami lebihan kos dan mencatatkan kerugian RM525 juta bagi tahun kewangan 2010 yang mana RM367 juta telah dikenal pasti pada separuh pertama.

''Projek marin pembinaan dua bot tunda dan kapal untuk kegunaan projek MOQ juga gagal disiapkan dan projek itu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM155 juta,'' kata Musa lagi.

Ketua Pegawai Kewangan Sime Darby, Tong Poh Keow berkata, pihaknya sedang berunding dengan pelanggannya berhubung potensi tuntutan.

Projek Bakun pula yang dijadualkan siap pada September 2007 tetapi terpaksa dilanjutkan juga dianggar memerlukan kos tambahan sebanyak RM450 juta.

Sekali lagi, Poh Keow berkata, Sime Darby juga sedang dalam perbincangan dengan pelanggan dan subkontraktor bagi projek ini.

Ditanya sama ada berlaku penyelewengan hingga mengakibatkan kerugian itu, Azhar berkata: ''Kita sedang memperinci serta melihat segala kemungkinan dengan bantuan penasihat profesional''.

Beliau menegaskan, jika terdapat penyelewengan atau penipuan, meskipun membabitkan jumlah yang kecil, pihaknya akan membuat laporan polis.

Musa yang turut ditanya soalan berkenaan berkata, Lembaga Pengarah Sime Darby belum sampai ke tahap tersebut (belum menyiasat secara terperinci).

''Bagaimanapun, saya tidak berani untuk berkata tidak (berlaku penyelewengan), kita tunggu laporan profesional,'' ujar beliau.


Tindakan Sime Darby selaras prinsip urus tadbir

PUTRAJAYA 13 Mei - Langkah Lembaga Pengarah Sime Darby Bhd. (Sime Darby) mengarahkan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid bercuti ekoran kerugian besar yang dialami konglomerat itu adalah selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua syarikat milik kerajaan (GLC) bertanggungjawab atas prestasi masing-masing dengan kerajaan sendiri telah menggariskan prinsip urus niaga tertentu.

''Peranan lembaga pengarah dan pengurusan amat jelas dan apa jua tindakan yang dibuat oleh Sime Darby ini mencerminkan bahawa mereka perlu membuat keputusan yang tegas, muktamad serta telus.

''Kita tidak ada hasrat untuk menutup kerugian serta kelemahan yang berlaku. Ini bertentangan dengan prinsip urus niaga yang baik," katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengumumkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2010 yang mencatat 10.1 peratus di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Sime Darby mengarahkan Ahmad Zubir yang kontraknya dijangka berakhir 26 November ini, untuk bercuti setelah konglomerat itu mencatatkan kerugian lebih RM1.63 bilion ekoran lebih kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya.

Serentak itu, mesyuarat Lembaga Pengarah Sime Darby yang bermesyuarat hampir 12 jam semalam memutuskan untuk melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif syarikat itu.

Disebabkan perkembangan itu, Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam hari ini berkata, Sime Darby dijangka merekodkan kerugian RM964 juta bagi prestasi kewangan separuh kedua 2010 untuk projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), MOQ (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).

Sebelum ini, Sime Darby dilaporkan telah mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas untuk menyiasat Bahagian Tenaga dan Utilitinya.

Kerugian membabitkan projek Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum (QP), Projek Maersk Oil Qatar (MOQ), pembinaan kapal bagi kegunaan projek MOQ dan projek empangan hidroelektrik di Bakun.

Projek QP yang dianugerahkan pada April 2006 yang sepatutnya siap pada Ogos 2008 telah tertangguh dan lebihan kos sehingga mengakibatkan kerugian RM500 juta.

Bagi projek MOQ yang diperoleh pada Januari 2007 dan sepatutnya siap pada Oktober tahun lalu juga mengalami lebihan kos dan mencatatkan kerugian sebanyak RM525 juta bagi tahun kewangan 2010.

Projek marin pembinaan dua bot tunda dan kapal untuk kegunaan projek MOQ juga masih gagal disiapkan dan projek itu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM155 juta.

Dari lebihan kos bagi MOQ sebanyak RM525 juta pada tahun kewangan 2010, RM367 juta telah dikenal pasti pada separuh pertama.

Projek Bakun pula yang dijadualkan siap pada September 2007 tetapi terpaksa dilanjutkan juga, dianggarkan memerlukan kos tambahan sebanyak RM450 juta.


No comments:

Post a Comment